RIYADH: Tempoh khutbah Jumaat dan solat di dua masjid suci dipendekkan kepada 15 minit bermula semalam, 21 Jun sehingga akhir musim panas ini, atas arahan kepemimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi.
Arahan itu juga termasuk menjadikan tempoh masa antara azan pertama dan azan kedua 10 minit dengan melambatkan waktu azan pertama.
Perkara itu diumumkan Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjdi Nabawi, Sheikh Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Sudais yang turut menghargai arahan yang mencerminkan kesungguhan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota serta Perdana Menteri Mohammed bin Salman dalam memastikan kesihatan, keselesaan dan keselamatan tetamu Allah.
Katanya, langkah ini juga menunjukkan keprihatinan pimpinan untuk memudahkan pelaksanaan ibadah Jumaat dengan lebih mudah serta mencegah kemudaratan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi.
Isyarat diraja ini merupakan prinsip asas Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan dan perlindungan jemaah.
“Oleh itu, keputusan untuk memendekkan dua khutbah Jumaat di Dua Masjidil Haram menjadi 10 minit berbanding 30 hingga 45 minit untuk meringankan beban jemaah berikutan suhu yang meningkat di kedua-dua masjid itu dan kota-kota suci,” katanya seperti dilaporkan Saudi Gazzate.
Sheikh Al-Sudais berkata, pengurangan dalam pelaksanaan amalan diperlukan untuk melindungi mereka daripada tekanan haba dan keletihan yang ditimbulkannya, terutamanya kepada jemaah haji yang merupakan pesakit dan warga emas.
“Kepimpinan Arab Saudi sentiasa berusaha untuk menjaga tetamu Allah dan bersungguh-sungguh untuk menyediakan kemudahan, keselamatan dan jaminan kepada mereka dalam semua keadaan.
“Ini supaya mereka dapat melakukan ibadah dengan senang dan selesa tanpa mendatangkan bahaya atau kerosakan,” ujarnya.
Keadaan sesak di Kota Suci Makkah dan Madinah ketika ini membuatkan ramai jemaah terdedah secara langsung kepada panas terik matahari pada ketika suhu mencapai kemuncaknya dari 11 pagi hingga 4 petang.
