WASHINGTON: Atas alasan keselamatan negara, Amerika Syarikat (AS), mengharamkan firma keselamatan siber yang berpangkalan di Russia, Kaspersky daripada menyediakan produk antivirus di negara itu.
Menurut Jabatan Perdagangan AS, Kaspersky secara am dilarang menjual perisiannya atau menyediakan kemas kini kepada perisian yang sudah digunakan di AS.
Pengumuman itu dibuat selepas siasatan terperinci mendapati ‘operasi berterusan Kaspersky di AS menimbulkan risiko keselamatan negara disebabkan keupayaan siber kerajaan Russia, serta keupayaan untuk mempengaruhi atau mengarahkan operasi Kaspersky’.
“Russia menunjukkan berkali-kali mereka mempunyai keupayaan dan niat untuk mengeksploitasi syarikat Russia, seperti Kaspersky Lab, untuk mengumpul dan mempersenjatai maklumat sensitif AS,” kata Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan Jabatan Perdagangan adalah langkah untuk memberi amaran kepada musuh AS yang negara itu tidak akan teragak-agak untuk bertindak apabila ‘teknologi mereka menimbulkan risiko kepada AS dan rakyatnya’.
Tindakan itu adalah yang pertama seumpamanya diambil sejak pemerintah eksekutif era Trump memberi kuasa kepada Jabatan Perdagangan untuk menyiasat sama ada syarikat tertentu menimbulkan risiko keselamatan negara.
Menurut Jabatan Perdagangan, tindakan diambil meskipun firma multinasional yang beribu pejabat di Moscow itu mempunyai pejabat di 31 negara di seluruh dunia dan memberi perkhidmatan kepada lebih 400 juta pengguna dan 270,000 pelanggan korporat di lebih 200 negara.
Nnn
