CAPE TOWN: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, dipilih semula untuk memegang jawatan itu bagi penggal kedua selepas partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), membentuk kerajaan perpaduan nasional.
Ramaphosa, 71, dipilih semula menyandang jawatan itu untuk tempoh lima tahun lagi, menerusi 283 undi dalam pengundian rahsia ahli Parlimen di Cape Town.
“Saya berasa rendah diri dan juga berbesar hati kerana anda sebagai Ahli Dewan Negara, memutuskan untuk memilih saya menjadi Presiden Republik Afrika Selatan,” kata Ramaphosa dalam ucapan selepas pemilihannya itu.
Keputusan pilihan raya umum (PRU) pada 29 Mei lalu menjadi titik perubahan bersejarah bagi Afrika Selatan apabila tidak menghasilkan pemenang mutlak.
Ia sekali gus menyaksikan tamatnya penguasaan tiga dekad pemerintahan parti ANC yang pernah dipimpin oleh mendiang Nelson Mandela.
Parti mengetuai perjuangan anti-aparteid itu hanya memenangi 40 peratus undi dan buat kali pertamanya, kehilangan majoriti mutlak di Parlimen.
Susulan itu, ANC mencapai perjanjian untuk membentuk apa yang dipanggil sebagai kerajaan perpaduan nasional.
“Ini adalah persimpangan bersejarah dalam kehidupan negara kita, yang memerlukan kita mesti bekerja dan bertindak bersama-sama,” kata Ramaphosa.
Kelmarin, Setiausaha Agung ANC, Fikile Mbalula, berkata gabungan besar itu mengumpulkan majoriti daripada 18 parti yang memenangi perwakilan Dewan Negara yang mempunyai 400 kerusi.
Nnnn
