KUALA LUMPUR 12 Jun – Bersatu akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat, selain Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan juga Kelantan secepat mungkin mengenai status tujuh wakil rakyatnya yang digugurkan keahlian dalam parti.
Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata pihaknya juga akan menghantar notis kepada tujuh wakil rakyat terbabit dalam tempoh sehari dua lagi untuk memaklumkan mengenai pengguguran keahlian masing-masing.
Beliau bagaimanapun menegaskan tindakan yang diambil itu bukanlah bersifat terburu-buru kerana parti hanya berbuat demikian selepas mendapatkan nasihat undang-undang, selain mengikuti prosedur diperlukan.
“Keputusan ini dibuat berikutan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Semua langkah yang perlu diambil berdasarkan nasihat peguam,” katanya selepas mesyuarat majlis pimpinan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Mohd Azizi juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neggiri di Kelantan manakala seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Nnn
