BAITULMAQDIS: Pengawal selia telekomunikasi Israel melanjutkan larangan terhadap operasi Al Jazeera selama 45 hari lagi selepas Kabinet bersetuju siarannya menimbulkan ancaman kepada keselamatan.
Minggu lalu, Mahkamah Tel Aviv mengekalkan larangan awal selama 35 hari ke atas operasi Al Jazeera di Israel, yang dikenakan oleh kerajaan atas alasan keselamatan negara, yang berakhir pada Sabtu.
Dalam keputusan berasingan mengenai petisyen oleh Al Jazeera menentang penutupan itu, Mahkamah Agung Israel menyifatkan tindakan terhadap saluran penyiaran yang disokong Qatar itu sebagai ‘penetapan duluan’.
Al Jazeera memberitahu mahkamah, ia tidak mencetuskan keganasan dan larangan itu adalah tidak seimbang, berdasarkan dokumen mahkamah yang ditunjukkan.
Saluran itu, yang mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, tidak segera memberikan maklum balas.
Kementerian Komunikasi Israel berkata, siaran rangkaian pada syarikat kabel dan satelit serta akses kepada laman webnya akan kekal disekat.
“Kami tidak akan membenarkan saluran Al Jazeera menyiarkan dari Israel dan membahayakan tentera kami,” kata Menteri Komunikasi Shlomo Karhi.
Beliau yang menegaskan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian terhadap penyiar asing juga yakin perintah penutupan akan dilanjutkan pada masa hadapan.
Sementara itu, Hakim Shai Yaniv berkata, beliau sudah ‘dibekalkan’ dengan bukti yang tidak dinyatakannya mengenai hubungan yang lama terjalin dan rapat antara kumpulan pejuang Hamas dan Al Jazeera.
Pada 5 Mei lalu, pihak berkuasa Israel menyerbu sebuah bilik hotel Baitulmaqdis yang digunakan oleh Al Jazeera sebagai pejabatnya dan berkata mereka akan menutup operasi itu sepanjang tempoh perang Gaza.
Al Jazeera sebelum ini menuduh Israel menyasarkan pejabat dan kakitangannya secara sistematik manakala pegawai Israel pula dikatakan sudah sekian lama tidak berpuas hati dengan liputan Al Jazeera.
Nnn
