NEW DELHI: Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi gagal mencapai majoriti mudah dalam Pilihan Raya Peringkat Kebangsaan.
Pengiraan undi lewat Selasa menunjukkan bahawa blok pembangkang memberikan saingan lebih baik daripada yang dijangka dalam pilihan raya kali ini.
BJP dijangka memenangi 240 kerusi, diikuti oleh parti pembangkang utama, Kongres Kebangsaan India mendapat 98 kerusi, menurut trend dan keputusan rasmi.
Parti Samajwadi dijangka memenangi 37 kerusi, Parti Kongres Trinamool Seluruh India (AITC) pimpinan Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee dijangka mendapat 29 kerusi, dan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan Ketua Menteri Tamil Nadu, M K Stalin mendahului dengan 22 kerusi.
Kongres, Samajwadi, dan DMK adalah sebahagian daripada “Indian National Developmental Inclusive Alliance” (INDIA), merangkumi lebih daripada 20 parti yang bersatu untuk menewaskan BJP.
Dalam pilihan raya 2019, Perikatan Demokrasi Nasional (NDA) yang diketuai BJP memenangi 353 kerusi, dengan BJP sendiri memperoleh 303 kerusi.
Oleh kerana kerusi diperoleh BJP jauh daripada 272 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah, ia akan memerlukan sokongan parti lain bagi membentuk kerajaan baharu.
Pencapaian BJP yang lemah memberikan lebih banyak kuasa runding kepada rakan kongsi yang berpotensi untuk membentuk kerajaan campuran kerana Modi ingin menjadi perdana menteri untuk penggal ketiga.
Di Uttar Pradesh, yang menyumbang 80 kerusi dewan rendah, pembangkang mendapat undian besar malahan calon BJP Lallu Singh kalah kepada Awadesh Prasad dari Parti Samajwadi di Faizabad, kawasan pengundian yang termasuk Ayodhya, bandar di mana Modi merasmikan Kuil Ram pada Januari yang mendapat publisiti hangat.
Nnn
