PKR kemuka tiga hingga lima nama calon

NIBONG TEBAL 2 Jun – PKR Pulau Pinang menyenarai pendek tiga hingga lima nama yang dicadangkan peringkat cabang Nibong Tebal dan pimpinan negeri untuk dipertimbang sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata mereka membabitkan lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun dan nama dihantar kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, ditemui ketika menyertai sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berhubung Projek Mitigasi Banjir DUN Sungai Bakap di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

Ditanya sama ada PH sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding pada PRK Sungai Bakap, Mohamad berkata, perkara itu jelas seperti diperkatakan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahidi Hamidi.

“Presiden UMNO nyatakan calon untuk PRK Sungai Bakap ini adalah daripada PH iaitu PKR dan ia dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal Rashidi Zinol berdasarkan PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu.

“Ini bermakna UMNO beri laluan kepada PH menjadi calon. Malam ini akan diadakan perjumpaan dengan semua Ketua Cawangan UMNO membabitkan 16 cawangan berhubung taklimat pilihan raya.

“Gabungan PH dan BN dari segi perpaduan dah ada ada tetapi dari segi gerak kerja selepas penamaan calon perlu diperkuatkan. Kita yakin dapat menawan semula Sungai Bakap dengan kejituan perpaduan antara PH dan BN di peringkat pusat, negeri dan Parlimen Nibong Tebal,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wanita PH sudah menggerakkan jentera bagi berdepan PRK Sungai Bakap dalam misi menawan kawasan berkenaan kembali ke pangkuan PKR, sekali gus mengukuhkan penguasaan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketuanya, Fadhlina Sidek, berkata momentum jentera menghadapi PRK sangat baik dan berjalan sejak awal lagi dengan misi untuk menawan Sungai Bakap dan terus memberi khidmat kebaktian terbaik untuk rakyat kawasan itu.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, sayap Wanita parti itu turut mengemukakan senarai calon wanita untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

PKR memenangi kerusi DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan menguasainya selama tiga penggal.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, calon PH daripada PKR tewas kepada Perikatan Nasional (PN) diwakili Pas yang meraih 15,433 undi.

Related posts

Leave a Comment