KUALA TERENGGANU 2 Jun – Bersatu bersedia memberi laluan kepada Pas untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, kata Ketua Penerangannya, Razali Idris.
Beliau berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan mengenai calon selepas Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya DUN itu.
Katanya, Bersatu dan Pas serta parti kompenan PN di Pulau Pinang sudah menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRK DUN Sungai Bakap.
“Kita akan putuskan calon sama ada daripada Bersatu atau Pas untuk bertanding di kerusi itu. Majlis Pimpinan Tertinggi PN juga akan mendapatkan maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu di Pulau Pinang,” katanya.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, berkata parti berkenaan akan berlapang dada siapa pun calon yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Kita akan menyokong siapa pun calon sama ada daripada Pas atau Bersatu, paling utama adalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu kepada PN,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu
SPR akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Sungai Bakap.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
