Bekas Presiden AS disabit jenayah

NEW YORK: Donald Trump menjadi bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang disabitkan dengan jenayah tetapi masih boleh bertanding dalam pemilihan Presiden AS 5 November ini sekaligus boleh menyaksikannya kembali ke Rumah Putih.

Juri New York mendapati Trump bersalah atas semua 34 pertuduhan terhadapnya.

Trump didapati bersalah dalam setiap 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran yang bertujuan menutup mulut bintang lucah, Stormy Daniels, menjelang pemilihan presiden pada 2016.

Secara teori, dia boleh dihukum penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan tetapi lebih berkemungkinan tidak akan dipenjarakan, sebaliknya hanya dikenakan syarat berkelakuan baik.

Pemimpin Republikan berusia 77 tahun itu, yang dibebaskan tanpa ikat jamin, kini menjadi penjenayah, suatu sejarah yang mengejut bagi negara di mana presiden sering digambarkan sebagai orang paling berkuasa di dunia.

Trump kekal dengan semangat juangnya dan membidas keputusan mahkamah yang tidak memihak kepadanya serta berikrar kepada wartawan bahawa ‘keputusan sebenar akan datang daripada pengundi’.

“Saya seorang yang tidak bersalah, seluruh kes mahkamah ini dimanipulasi dan sesuatu yang amat memalukan, semata-mata untuk menghalang saya bertanding,” katanya seperti dilaporkan media.

Sementara itu, pasukan kempen pemilihan semula Biden berkata keputusan perbicaraan kes jenayah yang memutuskan Trump bersalah semalam membuktikan bahawa ‘tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang’.

“Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak mengubah dinamik pemilihan presiden pada 5 November depan, masih ada satu cara untuk menghalang Trump daripada menerajui Pejabat Oval, di peti undi,” kata jurucakap kempen Biden, Michael Tyler.

Related posts

Leave a Comment