BANGKOK 3 Mei – Selepas dua hari berturut-turut merekodkan 17 orang meninggal dunia akibat Covid-19, Thailand hari ini menyaksikan lonjakan kes apabila mencatatkan 31 kematian dan 2,041 kes jangkitan baharu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 71,025 sejak pandemik itu bermula tahun lalu dengan jumlah kumulatif kematian pula meningkat kepada 276.
Satu kes import yang direkodkan adalah seorang warga Thai yang pulang dari Kemboja pada 22 April lalu.
Gelombang baharu Covid-19 termasuk varian B.1.1.7 yang dikesan di Britain, telah meningkatkan lebih separuh kes dan kematian.
Kes kematian melibatkan 11 wilayah dengan Bangkok dan Nonthaburi merekodkan
10 kematian. Pathum Thani dan Nakhon Si Thammarat masing-masing dua kematian, manakala satu kematian di Chachoengsao, Ang Thong, Phetchaburi, Suphan Buri, Lop Buri, Chaiyaphum dan Ranong.
Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid -19, kebanyakan kes kematian adalah disebabkan hubungan rapat dengan mereka yang sudah dijangkiti terutama keluarga sendiri.
Sementara itu, sebanyak 1,726 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes pulih kini 40,984 manakala 29,765 sedang menerima rawatan