Hari pertama bermula dengan kekcohan

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Hari pertama sidang Parlimen bermula kecoh hari ini susulan usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara menjelaskan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Usul dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu Jumaat lalu, bagaimanapun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini.

Situasi mula kecoh apabila apabila beberapa pemimpin diketuai Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, mendesak supaya usul DNAA itu diterima dan dibahaskan.

Bagaimanapun Speaker menegaskan bahawa usul itu sudah ditolak, tetapi memaklumkan akan memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk bercakap selepas urusan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selesai.

“Usul (sudah) ditolak. Saya beri ruang (untuk bercakap) sebab (usul sudah) ditolak. Jadi, jangan tanya sekarang,” kata Johari ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun pembangkang terus mempertikai sama ada keputusan dibuat Speaker itu membawa maksud usul berkenaan diterima dan boleh dibahas.

“Kalau dah tolak, macam mana nak bahas kalau ditolak?” soal Takiyuddin pula.

“Sebenarnya, saya tak beri ruang pun, tidak mengapa sebab saya dah tolak. Cuma saya nak beri ruang sebab saya dah tolak, saya beri ruang untuk bercakap sekejap lagi.

“Cuma bawa bersabar…bawa bersabar. Yang Berhormat tak tahu apa dalam kepala saya sekarang ini. Jadi bawa bersabar. Jangan tanya sekarang.

“Sebab kita tak tahu kita tanya. kalau tahu kita tak takkan tanya,” balas Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin

Speaker: “Saya ingat Ketua Pembangkang banyak tahun jadi menteri dan urusan seperti ini dibuat selepas urusan kerajaan.”

“Kebiasaannya apabila usul ditolak, YB Machang boleh berbicara mengikut perasan dia sajalah, usul sudah ditolak,” celah Bung Moktar Radin (BN – Kinabatangan).

Speaker kemudian meneruskan aturan mesyuarat dan menegaskan beliau memahami kehangatan yang berlaku, kerana hari pertama, ‘enjin’ pun sedang panas.

Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar berkenaan bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Related posts

Leave a Comment