JOHOR BAHRU 20 Mei – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram sehingga menyebabkan dua anggota polis terbunuh, perlu berjauhan dari kubur orang awam yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, menjarakkan kubur suspek berbanding kubur lain adalah sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, keputusan itu hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Mesyuarat itu bagi membincangkan status kematian anggota polis dan cara pengebumian suspek yang mati ditembak dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi Jumaat lalu.
Jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian manakala jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.
Menurut kenyataan itu, fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa itu juga memutuskan dua anggota polis yang terkorban itu sebagai syahid akhirat di mana jenazah hendaklah disempurnakan dengan dimandi, dikafan disolat dan dikebumikan.
Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan parah.
Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.
Koperal Mohd Hasif Roslan yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Jenazah penyerang insiden berdarah Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal lagi Jumaat lalu, dilaporkan dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini.
Pengebumian hanya dihadiri beberapa penduduk kampung selain pegawai dan anggota polis yang mengawal ketat keadaan sekitar.
