KAHERAH: Kereta kebal Israel memasuki beberapa kawasan perumahan di sempadan selatan Gaza manakala pasukan pertahanan Israel (IDF) mengepung utara kawasan itu selepas beberapa serangan paling sengit, yang didakwa menyasarkan kubu dan terowong digunakan pejuang Hamas.
Israel mendakwa empat batalion Hamas masih bersembunyi di Rafah dan menegaskan serangan itu terpaksa dilakukan.
Jurucakap Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, tentera Israel berjaya membunuh kira-kira 100 pejuang Hamas di kubu mereka yang terletak di 10 laluan terowong dan menemui banyak senjata di Rafah sejak bermulanya operasi seminggu lalu.
Pertempuran semakin sengit di seluruh Semenanjung Gaza sejak beberapa hari kebelakangan ini, terutama di utara dan menurut penduduk tempatan, semalam adalah yang paling sengit dalam tempoh beberapa bulan.
“Kami beroperasi dengan tekad di ketiga-tiga bahagian (utara, tengah dan selatan) di Semenanjung Gaza. Pasukan dari udara, darat dan laut secara serentak menyerang sasaran pengganas,” kata Hagari.
Menurut Pegawai Kesihatan Gaza, angka kematian rakyat Palestin kini melebihi 35,000 mangsa dan angka itu tidak membezakan antara orang awam dan pejuang.
Pihak kementerian berkata, 82 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam yang lalu, jumlah kematian tertinggi dalam sehari sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Israel mendakwa membunuh kira-kira 80 pejuang dan memusnahkan pelancar roket serta kemudahan pembuatan senjata di Jabalia semalam, di mana 13 askar Israel turut cedera termasuk empat parah.
Sementara itu, sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, mendakwa berjaya memusnahkan kenderaan pengangkut tentera Israel di daerah timur Al-Salam, mengorbankan beberapa anggota tentera Israel selam mencederakan sejumlah lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsar Bersatu (PBB) Antonio Guterres, mengutuk peningkatan serangan Israel di Rafah dan serangan roket Hamas.
