‘UMDAP’ tidak jejaskan jentera UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mei – Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini membuktikan semangat kesepakatan Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata biarpun dilempar dengan pelbagai tohmahan terutama melabel UMNO sebagai UMDAP (UMNO-DAP), ia tidak sedikit pun menjejaskan semangat jentera pilihan raya parti berkenaan untuk membantu memenangkan calon PH daripada DAP.

“Biapun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita melakukan penjelasan, hakikatnya jalinan BN (Barisan Nasional) dan PH menjadi tunjang kepada kerajaan bersama parti lain di Sabah dan Sarawak.

“Tunjang ini mesti diperkukuhkan, saya sudah nyatakan bahawa kepemimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil. Ini pertama kali calon DAP bertanding PRK dan tidak salah jika kita membalas budi yang ditabur oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu juga bukti bahawa UMNO memiliki daya tahan yang tinggi untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu dalam ucapan pada sambutan ulang tahun UMNO, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera BN kerana berjaya mematahkan serangan persepsi pihak lawan sepanjang tempoh berkempen PRK berkenaan.

“UMNO disimbah UMDAP, tahniah kepada jentera UMNO dan BN di Kuala Kubu Bharu kerana berjaya mengatasi persepsi ini. Saya ucapkan tahniah kepada semua jentera parti, jentera Wanita, Pemuda, Puteri,” katanya.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi untuk meraih 3,869 undi majoriti bagi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Calon Bebas, Nyau Ke Xin pula memperoleh 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang sekadar meraih 152 undi. Jumlah undi yang ditolak adalah sebanyak 263.

Related posts

Leave a Comment