Yuran pengajian anak mangsa nahas dikecualikan

SITIAWAN 25 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengecualikan yuran pengajian anak mangsa nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, semalam sehingga tamat belajar.

Menterinya, Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya akan mengecualikan yuran pengajian anak Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi,  pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sehingga penuntut perempuan itu tamat pengajian.

“Setakat ini kita hanya mendapat maklumat hanya seorang anak (iaitu Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan) belajar di UMK,” katanya yang turut menjelaskan cadangan itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, demikian selepas melawat keluarga Mohd Shahrizan di Taman Bunga Tanjong di sini, malam tadi.

Zambry berkata, pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 kepada 21 anak mangsa nahas yang masih bersekolah yang dikenal pasti.

“Saya juga percaya kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan (untuk membantu anak mangsa nahas), jadi tabung ini memudahkan pihak berkenaan membantu anak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua usaha itu untuk memastikan supaya anak semua mangsa dapat meneruskan pengajian dan pihaknya tidak mahu anak berkenaan berdepan masalah pembelajaran atau usaha melanjutkan pelajaran.

Nurul Shahfiqah, 21, anak sulung Mohd Shahrizan kini sedang melanjutkan pelajaran di UMK dan berada di tahun satu pengajian.

Mohd Shahrizan adalah antara tiga kru pesawat Fennec yang terbabit nahas dengan sebuah lagi aset TLDM iaitu HOM-AW139 yang dinaiki tujuh anggota.

Related posts

Leave a Comment