Batal program penceramah kontroversi

KUALA LUMPUR 25 April – Batalkan program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

Menteri Pendidikan Tinggi Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihak kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu yang berlaku itu.

“Susulan itu, saya sudah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah berkenaan dibatalkan segera. Saya turut meminta Universiti Malaya (UM) menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pada masa sama, beliau mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah KPT supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.

Katanya, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan dasar serta pendirian kerajaan.

“Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, tular di X seorang penceramah warga asing dipercayai menyebarkan naratif pro-Zionis dalam ceramahnya di UM.

Bagaimanapun, akaun X itu @BruceDGilley kemudiannya sudah tidak dapat diakses.

Related posts

Leave a Comment