PRK: MIC turun kempen calon PH

HULU SELANGOR : Keputusan MIC turun padang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu demi kebajikan kaum India di Hulu Selangor, kata Presidennya, SA Vigneswaran,.

Beliau berkata penyertaan dalam kempen PRK membolehkan MIC mengetengah isu dihadapi oleh kaum India, khususnya di DUN berkenaan.

“Ramai orang telefon saya. Tan Sri cakap tidak mahu sokong tetapi tiba-tiba mahu turun padang untuk berkempen.

“Selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MIC, saya memaklumkan MIC tidak akan turun berkempen sehingga mendapat panggilan telefon daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Ahli Majlis Tertinggi MIC juga telah membuat keputusan akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun,” katanya semasa berucap di Majlis Perasmian Bilik Gerakan MIC PRK DUN Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan; Naib Presiden MIC, T Mohan dan T Murugiah serta Kohilan Pilay dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor,  Mohd Isa Abu Kassim.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Vigneswaran berkata, keputusan untuk turun berkempen calon Kerajaan Perpaduan juga diambil selepas menerima pandangan daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya ini tidak akan mengubah dua perkara penting, iaitu pertama, kedudukan Perdana Menteri tidak akan tergugat. Kedua, walaupun kerusi ini kita kalah, ini tidak akan menukar kerajaan negeri.

“Jadi apa yang akan tukar? Yang akan tukar ialah persepsi kerajaan negeri dan persepsi Kerajaan Perpaduan kepada kaum India,” katanya.

Beliau berkata, Anwar berjanji menyelesaikan masalah kaum India dan jika kerusi DUN berkenaan dimenangi parti Kerajaan Perpaduan, sudah tentu akan memberi kesan positif dalam menyelesaikan masalah kaum India.

Related posts

Leave a Comment