TANJONG 19 Nov. – Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG) akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau memberi jaminan bacaan kali kedua RUU berkenaan akan dibentangkan sebelum berakhirnya sidang Parlimen yang sedang berlangsung, tamat pada 30 November ini.
“Insya-Allah, saya bagi jaminan RUU itu akan kita bentangkan sebelum berakhirnya sesi Parlimen pada kali ini,” katanya ringkas ketika ditemui pada Program Madani Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dr Zaliha bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya berhubung kenyataan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan Jabatan itu sudah memberi pandangan secara konsisten sejak 2022, bahawa peruntukan berkaitan GEG boleh dicabar di mahkamah.
Semalam, Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, berkata peruntukan itu bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu yang dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.
AGC merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal badan pemerhati kesihatan, CodeBlue pada 14 November lalu yang turut disiarkan dan New Straits Times Khamis lalu.
Khairy mendakwa terdapat dua menteri Kabinet menyekat RUU yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia yang dilahirkan selepas 2007 diharamkan untuk membeli atau mengambil produk nikotin.
Melalui hantaran di Instagram, Khairy turut meluahkan kekecewaan kerana Kabinet memutuskan untuk menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU terbabit.
