KUALA LUMPUR 23 April – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak hari ini.
Menurut catatan di laman Facebook rasmi, baginda menzahirkan rasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi ini dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter itu.
“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan juga syuhada,” titah baginda.
Turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam insiden itu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.
Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa amat sedih atas tragedi nahas helikopter itu dan menyifatkan ia satu kehilangan besar kepada TLDM dan negara.
Baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat.
“Selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, Beta ingin menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita susulan tragedi menyayat hati yang berlaku pada bulan Syawal dan semasa ulang tahun ke-90 TLDM ini.
“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” titah baginda dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.
