Kongres lapor Suruhanjaya Pilihan Raya

NEW DELHI: Kongres India, parti pembangkang utama India memfailkan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu semalam, mendakwa Perdana Menteri Narendra Modi secara terbuka menyasarkan minoriti Islam dalam satu ucapan kempen.

Modi didakwa telah meminggirkan 200 juta penduduk Islam di India sedangkan lazimnya Perdana Menteri India akan mengelak daripada menggunakan atau merujuk secara terbuka terhadap perkara yang membabitkan agama.

Bagaimanapun , pada perhimpunan pilihan raya di Rajasthan, Modi mendakwa pihak pembangkang sebelum ini mengatakan bahawa “penganut Islam mempunyai hak pertama ke atas kekayaan negara itu”.

Beliau berkata jika pihak pembangkang menang, ia akan diagihkan kepada mereka yang mempunyai lebih banyak anak.

“Adakah anda fikir wang titik peluh anda akan digihkan kepada penceroboh? Adakah anda akan menerimanya?,” soalnya.

Para pengkritik berkata kenyataan berkenaan merujuk kepada masyarakat Islam di India.

Dalam laporannya kepada Suruhanjaya Pilihan raya, Parti Kongres berkata kenyataan itu berunsur “memecahbelahkan, tidak menyenangkan dan berniat jahat” yang disasarkan kepada “masyarakat agama tertentu” dan secara terbuka melanggar undang-undang pilihan raya.

Menurut Kongres, kenyataan itu jauh lebih teruk daripada yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri yang pernah mentadbir dalam sejarah India.

Jurucakap parti Kongres, Abhishek Manu Singhvi memberitahu pemberita di luar pejabat Suruhanjaya, pihaknya berharap tindakan konkrit akan diambil.

Related posts

Leave a Comment