Usia bawah 13 tidak sesuai miliki akaun media sosial

KUALA LUMPUR 22 April – Golongan ibu bapa diminta untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki mana-mana akaun media sosial termasuk TikTok, Facebook dan Instagram

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mendapati golongan pada usia itu tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan berkenaan memiliki akaun media sosial.

“Sekiranya ada (anak-anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial), ibu bapa tolong maklum kepada saya, MCMC. Kita akan akan shut down (tutup) akaun tersebut,” katanya berucap pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai di sini, malam tadi.

Ketika ditemui pemberita, Fahmi menjelaskan, isu mengenai pemilikan akaun media sosial ketika ini adalah pihak media sosial menyerahkan sepenuhnya pendaftaran pembukaan akaun kepada pengguna tanpa kaedah pembuktian untuk memastikan usia mereka melebihi syarat dibenarkan.

Ssusulan itu, pihaknya mengadakan siri pertemuan dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp serta pihak Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian berkait kanak kanak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment