Selesai segera kemelut PKR Sabah

SHAH ALAM 21 April –  Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui kepemimpinan parti itu di Sabah dilanda ‘pergolakan’ dan menggesa penyelesaian segera kemelut  itu.

“Saya salute (tabik) Sabah (PKR). Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa pergolakan yang menjejaskan parti. Saya harap akan ada penyelesaian segera untuk ‘pergolakan’ ini. Tolong jangan panjangkan lagi,” katanya.

Saifuddin yang berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR sempena sambutan ulang tahun ke-25 parti itu di sini hari ini, merujuk kepada isu yang menjejas kepemimpinan PKR Sabah, yang dilanda krisis selepas 15 daripada 26 ketua bahagian di negeri itu meminta penyandang pengerusi Datuk Sangkar Rasam berundur.

Di sebalik seruan itu, Sangkar bertegas untuk kekal apabila beliau berkata keputusan mengenai jawatan pengerusi negeri adalah hak prerogatif Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika lawatannya ke Kota Kinabalu semalam, berkata kepemimpinan tertinggi PKR akan memutuskan siapa yang akan menerajui bahagian Sabahnya tidak lama lagi.

Katanya, lebih 10 nama telah dikemukakan untuk jawatan tertinggi parti di negeri berkenaan.

Terdahulu, pada 18 Mac lalu, Dr Sangkar didakwa kehilangan sokongan untuk terus menerajui selepas 15 daripada 26 Ketua Cabang di Sabah dan Labuan meminta beliau meletakkan jawatan.

Jurucakap 15 Ketua Cabang berkenaan, Sazalye Donol Abdullah, mendakwa Sangkar yang dilantik sebagai Pengerusi MPN pada Ogos 2022, gagal melaksanakan tanggungjawab memantapkan PKR Sabah.

Beliau berkata, gesaan agar Sangkar mengundur diri juga mengambil kira keperluan untuk melantik pemimpin baharu yang lebih proaktif menggerakkan parti, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.

Kesemua 15 Ketua Cabang terbabit sebulat suara menyatakan pendirian menolak kepemimpinan Dr Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah, dan mereka sudah menyatakan pendirian melalui akuan bersumpah (SD).

Ketua Cabang yang menandatangani SD itu ialah dari Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Pensiangan, Sipitang, Beaufort, Beluran, Kinabatangan, Papar, Kimanis, Kalabakan, Batu Sapi dan Semporna.

Nnn

Related posts

Leave a Comment