Zafrul mahu betulkan kesilapan fakta afidavit

PUTRAJAYA  17 April – Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, itu memaklumkan beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung afidavit Ahmad Zahid itu.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.

Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan tindakan itu adalah bagi membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat.

Beliau juga menjelaskan nasihat undang-undang itu dibuat selepas melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan oleh Zahid pada Rabu dalam prosiding undang-undang yang dikemukakan oleh Najib Tun Razak.

Awal hari ini, Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Tengku Zafrul.

Menurut Ahmad Zahid, Tengku Zafrul menunjukkan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Related posts

Leave a Comment