RIYADH: Platform Kebangsaan untuk Kerja Amal Arab Saudi (Ehsan) mengumumkan sumbangan bagi Kempen Kebangsaan untuk Kerja Amal yang keempat sudah menjangkaui SR1.8 bilion ($480 juta).
Sumbangan itu dikumpul dari hari ke-5 hingga ke-30 dalam bulan Ramadan dengan sumbangan terbesar oleh Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman, yang menghulurkan sebanyak SR70 juta (S$25 juta).
Sepanjang kempen tersebut, sifat pemurah para penderma terserlah dengan lebih 16 juta urus niaga.
Antara penyumbang adalah Saudi Aramco (SR35 juta), ROSHN (SR30 juta), King Abdullah Foundation (SR20 juta),Al-Rajhi Endowment (SR15 juta), SNB Al-Ahli (SR15 juta), SABIC (SR10 juta), Saleh Abdullah Kamel Humanitarian Foundation (SR10 juta), Othaim Charity (SR8.6 juta), Hayat Charitable Foundation (SR6.3 juta), dan Ma’aden (SR5 juta).
Sebahagian besar dana itu, melebihi SR854 juta disalurkan kepada Dana Wakaf Ehsan, yang membantu lebih 1,700 pertubuhan persatuan awam.
Kempen itu juga memudahkan pengumpulan zakat fitrah berjumlah lebih SR36 juta melalui lebih 390,000 transaksi pada aplikasi dan laman platform itu.
Sumbangan itu sekali gus menggariskan pendampingan masyarakat dalam memenuhi tuntutan agama dan membantu mereka yang memerlukan.
Secara keseluruhannya, platform Ehsan menyalurkan sumbangan berjumlah lebih SR6.8 bilion.
Ini juga membantu lebih 4.8 juta penerima bantuan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, jagaan kesihatan, kebajikan sosial, bantuan makanan, perumahan, sokongan agama dan bantuan yang kurang berkemampuan.
