SEPANG 10 April – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah universitinya apabila 18 subjek merentasi empat bidang utama disenaraikan dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) by Subject 2024 yang diumumkan hari ini.
Dalam satu kenyataan, UiTM memaklumkan, kejayaan itu sekali gus mengatasi pencapaian tahun lalu dengan 13 subjek merentasi tiga bidang utama.
“Tahun ini, 1,561 institusi disenaraikan merentasi 55 subjek dan lima bidang utama. Antara pencapaian paling ketara tahun ini ialah subjek Fizik dan Astronomi yang disenaraikan buat kali pertama dalam sejarah UiTM dengan berada dalam kedudukan 551 hingga 600.
Subjek Pendidikan juga berada dalam kedudukan 351 hingga 400 sejak kali terakhir disenaraikan pada tiga tahun lalu. Subjek Kimia turut berada dalam kedudukan 551 hingga 600 sejak kali terakhir disenaraikan pada 2021,” kata kenyataan itu.
Secara keseluruhan, pada tahun ini tujuh subjek menunjukkan peningkatan iaitu Seni dan Reka Bentuk; Farmasi dan Farmakologi; Kejuruteraan Elektrik; Pengajian Perniagaan dan Pengurusan; Ekonomi dan Ekonometrik; Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat.
Subjek Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi pula terus mengekalkan kedudukannya sebagai subjek terbaik UiTM apabila tersenarai dalam kedudukan 50 hingga 100 di dunia.
Kejuruteraan Petroleum kekal pada kedudukan 150 terbaik dunia bagi empat tahun berturut-turut.
UiTM berkata, subjek Seni dan Reka Bentuk melonjak pada kedudukan 200 terbaik berbanding kedudukan 240 pada tahun lalu.
Antara subjek lain yang disenaraikan ialah Seni Bina/Persekitaran Binaan; Perakaunan dan Kewangan; Undang-undang; Kejuruteraan Kimia, Pertanian dan Perhutanan serta Perubatan.
Bagi bidang utama, kemasukan Sains Hayat dan Perubatan buat kali pertama dalam penarafan ini meningkatkan kedudukan UiTM apabila empat bidang utama disenaraikan berbanding hanya tiga pada tahun lalu.
Subjek Sains Sosial dan Pengurusan terus menjadi bidang terkuat UiTM dengan mengekalkan kedudukannya pada tangga 361, manakala kedudukan bidang Kejuruteraan dan Teknologi meningkat ketara daripada kedudukan 451 hingga 500 pada tahun lalu kepada 388 pada tahun ini.
Bidang Seni dan Kemanusiaan juga bertambah baik daripada kedudukan 451 hingga 500 pada tahun lepas kepada 401 hingga 450 pada tahun ini.
Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata maklumat diterima hari istimewa iaitu ketika masyarakat Malaysia menyambut Aidilfitri.
“Pencapaian ini mencerminkan semangat kebersamaan dan persefahaman dalam kalangan warga UiTM mengenai hala tuju dan matlamat institusi ini.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua warga UiTM atas pencapaian membanggakan ini dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
“Semoga pencapaian ini terus menyemarakkan semangat kita semua untuk meneruskan matlamat strategik ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025,” katanya.
Nnnn
