TANJONG 6 April – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), menasihatkan penduduk di negeri itu mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga Jun ini bagi memastikan bekalan air mencukupi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan, dalam satu kenyataan berkata pengguna juga dinasihatkan, berhemat menggunakan air sehingga berakhir fenomena El-Nino.
Katanya, pada Mac lalu, sebanyak 66.5 milimeter (mm) hujan direkodkan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan PBAPP berusaha menstabilkan kapasiti efektif empangan ini, melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP2024).
“Kapasiti efektik empangan turun dua peratus dalam tempoh 31 hari, sementara kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang turun 11 peratus dalam tempoh sama dan taburan hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 133mm pada Mac,” katanya.
Pathmanathan berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 juta liter (ML) manakala kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,160ML.
Menurut beliau lagi, ramalan cuaca antarabangsa menyatakan, fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering pada suku pertama 2024, berkemungkinan memberi laluan kepada fenomena La Nina di mana cuaca lembab dan hujan lebat yang akan bermula dari Mei, Jun atau Julai tahun ini.
METMalaysia meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang pada April, Mei, Jun dan Julai ini.
“Bagaimanapun, ini adalah ramalan dan kita tidak pasti bahawa hujan sebenar akan mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara,” katanya.
