SEPANG 6 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengemukakan lima cadangan untuk mengembalikan kegemilangan UMNO di Selangor selepas kalah teruk pada pilihan raya.
Katanya, UMNO Selangor mencatat prestasi terburuk dalam sejarah dengan tidak menang satu kerusi pun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan hanya dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Beliau yang meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April lalu, berkata jika UMNO negeri itu tidak mengubah budayanya, walau sebanyak mana pun perancangan dan visi yang ditetapkan, ia akan terus kekal tanpa kuasa.
Ketua UMNO bahagian Kota Raja itu berkata, cadangan pertamanya adalah UMNO Selangor perlu melaksanakan kajian sikap yang ikhlas, yang melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri itu.
“Kedua, perlu memodenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea daripada akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, mengguna pakai data dan analisa dengan tepat.
Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan,” katanya melalui Facebooknya.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, berkata langkah keempat yang perlu dilakukan UMNO Selangor adalah merangka kerjasama menang-menang dengan rakan di negeri itu.
“Kelima dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya politik baharu, sama ada budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar serta buang cah keting,” katanya.
Tengku Zafrul sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Bendahari UMNO Selangor selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.
Mengimbas kembali kekalahan teruk UMNO pada PRN Selangor, Tengku Zafrul berkata, beliau memberi peringatan bahawa itu adalah amaran terakhir dan jika keputusan itu masih belum mampu mencelikkan mata, tiada apa lagi yang boleh mencelikkan UMNO negeri itu.
“Sekarang sudah lapan bulan selepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baharu tawan hati rakyat? Tak ada.
“Jadi, kalau pandangan saya mengenai keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO pada peringkat pusat dan bahagian,” katanya.
Beliau juga menegaskan masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Selangor kerana yakin semua ahlinya berkongsi impian yang sama iaitu untuk melihat UMNO Selangor kembali relevan dan dihormati rakyat.
“Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras tetapi inilah resam perjuangan dan impian yang wajib dilaksanakan,” katanya.
Nnnn
