KUALA LLUMPUR 22 Ogos – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Kerajaan Negeri Johor mengarahkan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menarik balik arahan penutupan sebuah klinik pergigian swasta selama 30 hari yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan menyifatkan arahan MPPn itu keterlaluan, tidak setimpal dengan kesalahan serta melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.
“Keputusan menutup premis tanpa pertimbangan budi bicara yang munasabah adalah bertentangan dengan prinsip “proportionality”dalam penghukuman.
Penguatkuasaan PBT perlu berfakta, berasas, mengikut konteks dan mengambil kira keadaan sebenar, bukan “one-size-fits-all”. Penguatkuasaan PBT tidak harus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, “ kata DAPSY.
Tambahnya, segala keputusan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya mempertimbangkan impak atau kesan kepada orang awam, bukannya menghukum secara membuta tuli seperti polis moral.
“Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang telah membuat janji temu, termasuk kesemua yang telah mengaturkan untuk pembedahan dan sebagainya terpaksa ditangguhkan tarikhnya atau mencari doktor lain,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.
Sementara itu, DAPSY mengakui memasang bendera secara tidak betul adalah salah dan memang tidak dapat dinafikan wujudnya kecuaian, namun hukuman untuk menutup operasi selama sebulan adalah tidak wajar.
Menurut DAPSY, penguatkuasaan PBT perlu berfakta, berasas, mengikut konteks dan mengambil kira keadaan sebenar, bukan “one-size-fits-all”, selain tidak harus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
Lebih membimbangkan, dakwa DAPSY, adalah amalan dwistandard dalam isu bendera apabila kesilapan serupa melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM); Pas Terengganu dan Pemuda UMNO Terengganu tidak dikenakan tindakan berat, tetapi peniaga kecil dihukum dan diaibkan golongan ekstremis.
“Amalan sedemikian telah mewujudkan persepsi buruk dan semakin menghakis kepercayaan awam serta meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat,” katanya.
DAPSY mengingatkan pendekatan melalui paksaan hanya akan menghasilkan kepatuhan palsu dan penolakan rakyat terhadap perihal yang serius manakala patriotisme harus dibina melalui pendidikan dan dorongan, bukan melalui ugutan atau hukuman keras.
Nnnn
