Lihat anak bulan Syawal 9 April

KUALA LUMPUR 30 Mac – Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan tarikh  melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 9 April di 29 lokasi di seluruh negara.

Dalam kenyataan, hari ini, pejabat itu memaklumkan tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan MohorBesar Raja-raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Selasa, 9 April 2024 Masehi bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijriah,” kata kenyataan itu.

Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Lokasi untuk melihat anak bulan Syawal adalah di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor.

Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang,  Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah, Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Manakala  di Kelantan pula adalah di Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu, sementara di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Related posts

Leave a Comment