Israel sekat sepenuhnya hantar bantuan

GAZA: Israel sudah menyekat sepenuhnya penghantaran bantuan di utara Gaza, iaitu kawasan merekodkan risiko kebuluran tertinggi.

Demikian menurut Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA).

“Walaupun tragedi yang berlaku ketika ini di bawah pemerhatian kami, pihak berkuasa Israel memaklumkan PBB bahawa mereka tidak akan lagi meluluskan sebarang konvoi makanan digerakkan UNRWA,

Ini keterlaluan kerana dengan sengaja menghalang bantuan bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang kebuluran akibat perbuatan manusia,” kata ketuanya, Philippe Lazzarini menerusi platform X.

UNRWA tidak dapat menghantar makanan ke utara sejak 29 Januari dan keputusan terbaharu Israel itu ibarat ‘hukuman mati’ bagi penduduk Gaza yang amat memerlukan bantuan.

Ketua pejabat penyelarasan kemanusiaan PBB, Martin Griffiths, berkata di platform X semalam bahawa UNRWA adalah satu-satunya ‘jantung yang masih berdenyut’ selama ini bagi tindak bantuan kemanusiaan di Gaza.

Tambah beliau, keputusan untuk menyekat konvoi makanannya ke utara hanya mendorong beribu-ribu lebih dekat kepada kebuluran dan menggesa ia dibatalkan segera.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata di platform X bahawa menyekat penghantaran bantuan UNRWA sebenarnya menafikan orang yang kelaparan hak untuk terus hidup.

Related posts

Leave a Comment