Hentikan sekatan bantuan ke Gaza

KAHERAH: Israel perlu berhenti mengenakan halangan dan sekatan, agar bantuan boleh dihantar ke Gaza yang penduduknya sedang diancam kebuluran, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Justeru pada sidang media di Kaherah bersama Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, semalam, Guterres mengulangi gesaannya supaya gencatan senjata dilaksanakan segera di Gaza demi kemanusiaan.

Katanya, langkah itu penting untuk meringankan kesengsaraan kanak-kanak, wanita dan lelaki Palestin yang bergelut mengharungi ‘mimpi ngeri’ di semenanjung itu.

“Keadaan di Gaza kini sarat dengan krisis peperangan, kebuluran, penaklukan dan kematian yang sedang membelenggu.

Seluruh dunia sedar bahawa sudah lebih daripada tiba masanya untuk menghentikan serangan dan memastikan gencatan senjata serta-merta demi kemanusiaan,” katanya.

Guterres yang turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, menyifatkan lintasan sempadan Rafah serta Lapangan Terbang El-Arish di mana bantuan dihantar, sebagai ‘arteri’ penting untuk bantuan dibawa masuk ke Gaza bagi menyelamatkan nyawa.

Bagaimanapun arteri berkenaan telah tersumbat, dengan deretan panjang trak membawa muatan bantuan berkumpul di lintasan sebelah Mesir sedangkan krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah.

Related posts

Leave a Comment