PKNS nafi roboh Kompleks PKNS Shah Alam

SHAH ALAM 18 Mac – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan laporan media sosial dan media massa yang mendakwa kononnya Kompleks PKNS Shah Alam yang berusia lebih empat dekad akan dirobohkan.

Susulan itu PKNS dalam kenyataan hari ini kesal dengan laporan berkenaan dan akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita tidak benar ini.

“PKNS ingin menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan Kompleks PKNS ini.

“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu, adalah salah satu mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar,” kata kenyataan itu.

Menurut PKNS, perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Shah Alam itu sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

Kenyataan itu menjelaskan, kawasan ini akan dinaik taraf bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat.

Jelas beliau, projek itu juga seiring usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon di mana mana bangunan yang dinaik taraf nanti akan menggunakan sistem ‘centralised chill water’ selain sistem tenaga hijau.

“Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosio ekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

“Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka,” katanya.

Katanya, penubuhan PKNS sebagai agensi pembangunan negeri bertujuan meningkatkan pertumbuhan sosio ekonomi berpandukan dasar kerajaan demi mewujudkan kestabilan dan keharmonian di negeri Selangor.

Related posts

Leave a Comment