Kurma mentega tidak boleh jadi amalan

KUALA LUMPUR 16 Mac – Pengambilan kurma dimakan bersama mentega tidak boleh dijadikan amalan dalam pemakanan, demikian nasihat Pensyarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Suhainizam Muhamad Saliluddin.

Beliau mengakui kurma bagus kerana mempunyai gula kompleks, tetapi apabila digabungkan dengan mentega yang mengandungi lemak tinggi, ia boleh mendatangkan masalah lain.

“Kalau setakat nak mencuba satu…. tak ada masalah tetapi kalau setiap kali berbuka dan setiap kali bersahur, jadikan amalan mendatangkan masalah lain pula,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengambil makanan mengandungi karbohidrat kompleks, terutamanya ketika negara sedang dilanda fenomena El Nino bagi mengelak terkena strok haba sepanjang menjalani ibadah puasa.

Dr Suhainizam berkata, makanan kandungan itu seperti kurma akan terurai secara perlahan, sekali gus menyebabkan tempoh kenyang lebih lama berbanding pengambilan gula putih.

“Makanan yang mengandungi gula putih baik untuk pengekalan tenaga, tetapi apabila satu hingga dua jam selepas sahur, tenaga berkurangan akibat proses penguraian yang pantas,” katanya.

Beliau berkata strok haba adalah penyakit disebabkan kepanasan melampau yang didahului dengan kekejangan haba, diikuti kelesuan haba yang antara lain berlaku apabila suhu badan meningkat, jantung berdenyut laju, pening atau sakit kepala dan keletihan melampau.

Menjawab soalan penonton, Dr Suhainizam juga menasihatkan supaya mengelakkan aktiviti di luar yang terdedah panas matahari antara pukul 10 pagi hingga 5 petang manakala yang mahu bersenam boleh mengehadkan setengah jam sebelum waktu berbuka.

Nnn

Related posts

Leave a Comment