Tahanan Imigresen: KDN sangkal dakwaan HRW

KUALA LUMPUR 12 Mac –  Kerajaan membelanjakan RM123 juta bagi menguruskan 20 depoh tahanan imigresen seluruh negara tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, sebanyak RM80 juta lagi adalah bagi perbelanjaan makanan dan menanggung bayaran tiket feri dan kapal terbang apabila tahanan diusir.

“Begitu sekali kita jaga tapi Human Rights Watch (HRW) kata kita seksa sampai berlaku kematian.,” katanya menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, akibat laporan itu, Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sudah memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen untuk menjawab persoalan ini, begitu juga HRW bagi memberi keterangan.

“Saya difahamkan ketika diminta pembuktian di mana penyeksaan dan kematian yang disebut itu berlaku, satu cebis bukti pun tak dapat dikemukakan tapi laporan sudah mereka syarahkan satu dunia,” katanya.

Saifuddin yang menyangkal dakwaan HRW itu kononnya berlaku penyeksaan dan kematian di depoh tahanan imigresen di negara ini juga menafikan dakwaan menyatakan depoh tahanan itu sesak melebihi kapasiti.

Katanya, kapasiti yang boleh ditampung 20 depoh tahanan imigresen adalah 20,650 orang dan sehingga 7 Mac lalu, seramai 13,635 orang ditahan di depoh berkenaan.

“Ini (jumlah tahanan) di bawah kapasiti, jadi dakwaan HRW itu tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara. Adakah (tahanan) diseksa? Jawapannya tidak,” katanya.

Saifuddin berkata, tahanan merangkumi mereka yang selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan di negara ini sementara menunggu kedutaan masing-masing menyediakan dokumen perjalanan sebelum diusir.

Selain itu, katanya, mereka yang ditangkap di bawah pelbagai kesalahan Akta Imigresen dan Akta Pasport seperti terlebih tinggal, salah guna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan.

“Ada juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)yang terbabit dalam kesalahan seperti dadah, rogol dan bunuh, malah ada yang mencuri nadir bumi di Sik, Kedah,” katanya.

Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa pelarian dalam depoh tahanan Imigresen diberi layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia di samping mendakwa, kanak-kanak juga sering menghadapi penderaan termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment