KAJANG 5 Mac – Tiada lagi pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan ketika calon menjalani ujian memandu berikutan pelaksanaan sistem pengujian lesen memandu secara automasi atau ‘eTesting’ .
Kementerian Pengangkutan melancarkan projek perintis itu hari ini di tiga institut memandu di IM Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi, Pulau Pinang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, prestasi calon akan diukur menggunakan alat pengesan dan kamera serta keputusan dijana secara masa nyata sekali gus meningkatkan integriti proses penilaian.
“Bagi penggunaan sistem terbabit, institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon memilih menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat antaranya boleh menjalani percubaan kali kedua bagi elemen ujian yang gagal pada hari sama tanpa kos tambahan.
Calon ujian juga akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian selain mendapat rebat RM10 bagi pengeluaran lesen percubaan.
Bagaimanapun, buat permulaan calon diberi pilihan untuk menjalani ujian manual atau eTesting,” katanya selepas lawatan kerja pelaksanaan inisiatif eTesting di Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat di sini, hari ini.
Loke berkata, pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada iaitu kira-kira 150 calon pada satu hari manakala
jumlah pegawai penilai JPJ yang bertugas di satu institut memandu juga boleh dikurangkan kepada dua orang berbanding enam orang ketika ini.
Katanya, sistem itu dapat meningkatkan integriti, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.
“Kita menggalakkan semua institut memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting,” katanya.
Beliau berkata institut memandu boleh memilih penyedia perkhidmatan eTesting yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Projek eTesting iaitu Syarikat Uji Bestari Sdn Bhd; Syarikat TBS Solutions Sdn Bhd dan KOPIMA Technology Sdn Bhd.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga lagi penyedia perkhidmatan eTesting masih dalam fasa penilaian dan akan diumumkan kemudian.
Nnn
