PUTRAJAYA 2 Mac – Sebanyak 3,572 kes demam denggi direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-08 (ME08) 2024 bagi tempoh 18 hingga 24 Februari, berbanding 3,483 pada minggu sebelumnya, dengan dua kematian akibat komplikasi dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata jumlah kumulatif kes demam denggi dilaporkan hingga ME08 ialah sebanyak 29,113 kes berbanding 17,388 bagi tempoh sama tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, 16 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 14 bagi tempoh sama pada 2023.
Dari segi bilangan lokaliti hotspot pula, katanya, ia meningkat kepada 196 berbanding 185 pada minggu sebelumnya, dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor (155), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (16), Perak (lapan), Negeri Sembilan (lapan), Pulau Pinang (tiga), Sabah (dua) serta masing-masing satu di Kedah, Johor, Melaka dan Pahang.
Sementara itu bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi memaklumkan dua kes direkodkan pada ME08, dan jumlah kumulatifnya hingga kini ialah enam kes
Bagi survelan zika pula, beliau berkata, sebanyak 361 sampel darah telah dijalankan saringan zika, dengan hasil kesemuanya negatif.