SHAH ALAM 27 Feb. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya negeri bersedia mendepani cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau dan menggesa rakyat menggunakan air harian secara cermat dan berhemah.
Baginda yang bersyukur kerana Selangor dilimpahi kemakmuran dan mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat mengingatkan tentang kewajaran membuat persediaan menghadapi cabaran perubahan iklim itu.
“Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi dianggarkan sebanyak 215 liter seorang sehari,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke 15 di Bangunan DUN Selangor, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar, Amirudin Shari.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda juga dimaklumkan mengenai komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negeri.
Titah baginda, kejadian paip pecah juga banyak berlaku disebabkan paip usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan perbuatan vandalisme.
“Untuk menaik taraf rangkaian paip, kerajaan beta menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300 km setahun.
“Beta menggesa semua pihak berkaitan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip usang dapat disegerakan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan negeri mengurangkan kesan kenaikan tarif kepada rakyat dengan menyerap dan menanggung peningkatan kos bagi penerima air percuma mengikut Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadah bagi kemaslahatan rakyat.
“Kos tanggungan kerajaan akan meningkat kepada anggaran RM37.7 juta setahun, namun usaha ini akan meringankan beban rakyat dan menjadi manifestasi terhadap keprihatinan kerajaan beta,” titah baginda.
Nnnn
