Bertentangan hasrat dua negara

WASHINGTON: Rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk pasca perang di Gaza, adalah bertentangan dengan penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin.

Justeru jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric mengulangi rayuan untuk gencatan senjata dilaksanakan segera, akses kemanusiaan lebih meluas, pembebasan tebusan serta-merta dan tanpa syarat..

Beliau turut menekankan gesaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya sebarang penyelesaian mampan untuk keamanan jangka panjang, mesti dalam kerangka penyelesaian dua negara dan pendudukan ditamatkan.

“Selain itu, penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka sepenuhnya, demokratik, berkongsi sempadan, berdaulat serta berdaya maju, dengan dilengkapi Gaza sebagai bahagian yang penting, selaras undang-undang antarabangsa, resolusi PBB yang berkaitan, dan perjanjian dua hala sedia ada,” katanya.

Kenyataan Dujarric itu menyusul selepas Netanyahu dilapor mengusulkan rancangan kepada Kabinetnya untuk Israel menguasai kawalan keselamatan sepenuhnya tanpa had ke atas Gaza, selain Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) ditutup sebaik saja peperangan di Gaza berakhir kelak.

“Saya juga ingin menambah bahawa kami kekal amat prihatin terhadap segala retorik yang berterusan dan rancangan serta usaha yang boleh menjejaskan tugas UNRWA,” kata Dujarric.

Beliau menegaskan, rancangan itu bertentangan segala yang mereka harapkan, termasuk untuk rakyat Gaza, agar penduduk Israel dan Palestin dapat saling hidup bersempadan secara aman.

PBB mendakwa serangan berterusan Israel ke atas Gaza menyebabkan 85 peratus penduduknya kehilangan tempat tinggal, selain berdepan krisis kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu pula rosak atau musnah.

Related posts

Leave a Comment