Rekod perolehan hasil tertinggi JPJ

PUTRAJAYA 23 Feb. –  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencipta rekod perolehan hasil RM5.07 bilion sepanjang tahun lalu, berbanding RM4.9 bilion pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 3.53 peratus.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kali pertama dalam sejarah, hasil diperoleh JPJ mencecah RM5 bilion.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPJ dalam menjayakan peningkatan hasil ini,”  kata lokeketika berucap pada Majlis Sua Kasih kementeriannya, di sini hari ini.

Katanya, kutipan hasil kategori bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan turut meningkat daripada RM 501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta tahun lalu.

Peningkatan hasil itu termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF dan M_M, masing-masing pada Mei dan Ogos tahun lalu manakala siri GOLD sempena sambutan Jubli Emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 pada 1 Febuari lalu, merekodkan RM17.24 juta hasil kutipan.

“Ini termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan harga bidaan sebanyak RM1.5 juta,” katanya menambah siri nombor pendaftaran GOLD menerima 23,160 bidaan dengan 6,810 berjaya.

Loke memaklumkan, 50 peratus daripada hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa akan disalurkan kepada inisiatif di bawah kementerian bagi 2024 termasuk bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar, subsidi FlySISWA dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada pemandu teksi.

Related posts

Leave a Comment