Istiadat Penghormatan Negeri di DUN Sarawak

KUCHING 22 Feb. –  Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, tiba di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 7.50 pagi ini bagi Istiadat Penghormatan Negeri.

Turut mengiringi jenazah ialah anak Allahyarham, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Mahmud Abu Bekir Taib dan Hanifah Hajar Taib.

Lapan orang pengusung dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian membawa masuk jenazah Allahyarham dan meletakkannya di tempat khas di Atrium DUN Sarawak.

Orang ramai daripada pelbagai kaum berada di bangunan DUN seawal pukul 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri itu yang telah banyak menyumbang bakti kepada Bumi Kenyalang.

Istiadat Penghormatan Negeri bermula jam 8 hingga 11.30 pagi ini bagi membolehkan orang awam memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Solat jenazah dijadual diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham, disusuli Istiadat Pengebumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Bapa Pemodenan Sarawak itu meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 pagi semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment