PUTRAJAYA 21 Feb . – Polis akan memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warga Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ yang mengaku berada dalam jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau daripada aspek ketenteraman awam membabitkan individu berkenaan termasuk pengikutnya.
Saifuddin mengesahkan individu berkenaan sering keluar masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan berada di negara ini selama 90 hari.
Mengikut rekod, lelaki itu adalah warga Algeria dan menggunakan pasport perjalanan Perancis.
“Setakat ini terdapat dua perkara berbangkit iaitu sekiranya aktiviti yang dilakukan bersifat keagamaan dan elemen pelanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang dan enakmen, tindakan adalah di bawah polis dan pihak agama negeri,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan lelaki berkenaan
Seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau mendapat maklumat Mawla Amin datang ke negara ini bagi membina pengaruh serta mendapatkan pengikut dari kalangan rakyat negara ini.
Sementara itu, berdasarkan semakan polis, beliau juga memaklumkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Ops Ihsan di Gaza, Palestin, tidak terbabit dalam isu keganasan seperti disenaraikan Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Katanya, kerajaan sedia maklum operasi kemanusiaan bagi membantu penduduk di Gaza membabitkan sekumpulan NGO.
Katanya, sebelum operasi itu bermula sudah tentu akan diadakan semakan terlebih dahulu supaya tidak berlaku masalah ketika operasi berjalan.
“Seramai 359 individu menganggotai NGO ini membabitkan 53 kumpulan dan kesemua mereka dibuat semakan terlebih dahulu oleh pihak keselamatan supaya tidak terbabit dengan aktiviti keganasan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari negara ini yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC oleh FBI.
