Sarawak rakam ucapan takziah

KUCHING 21 Feb. – Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri, Allahyarham Abdul Taib Mahmud dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat.

Premier , Abang Johari Abang Openg berkata, susulan tempoh berkabung dua hari, masjid dan rumah ibadah agama lain digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Allahyarham.

Terdahulu, Abang Johari serta tiga timbalannya, Douglas Uggah Embas, Dr Sim Kui Hian dan Awang Tengah Ali Hasan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi menyambut ketibaan jenazah pada pukul 4.26 petang tadi.

Jenazah diterbangkan dengan pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 12.30 tengah hari dengan diiringi isterinya, Raghad Kurdi Taib.

Turut serta beberapa ahli keluarga termasuk semua empat anaknya,Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman, Jamilah Hamidah dan Hanifah Hajar.

Ketibaan jenazah disambut dengan kawalan kehormat utama Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli dengan bacaan doa dan diakhiri dengan lagu Ibu Pertiwiku sebelum dibawa menggunakan kenderaan khas untuk dibawa ke kediaman Allahyarham di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Sebaik tiba, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Petra Jaya, di sini.

Esok, jenazah akan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak yang terletak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum disemadikan di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

(Foto UKAS )

Related posts

Leave a Comment