KUALA LUMPUR 20 Feb. – Satu kumpulan pendesak hari ini menuntut kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji-janjinya sewaktu menerajui blok pembangkang sebelum ini.
Kumpulan yang melibatkan individu yang aktif dalam masyarakat sivil, pemikir, ilmuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membentangkan pelan tindakan untuk reformasi Parlimen.
Pada masa yang sama gerakan yang dikenali sebagai The Seed Community for a Professional Parliament (SCPP) itu mengingatkan Ahli Parlimen Tambun itu supaya menetapkan waktu yang jelas.
SCPP dianggotai Projek SAMA, Institusi Pembaharuan Politik dan Demokrasi (REFORM), Engaga, IDEAS, Maha Balakrishnan, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), Bail Al Amanah dan Undi18.
Dalam kenyataan melalui Facebook BERSIH, kumpulan itu menggariskan lima pelan hala tuju reformasi Parlimen sebagai peringatan kepada kerajaan pimpinan Anwar.
* Pertama, penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang memulihkan belanjawan dan pentadbiran autonomi kepada Parlimen.
* Kedua, pengukuhan dan memperluas Jawatankuasa Pilihan Parlimen melalui pindaan Peraturan Mesyuarat.
* Ketiga, memperuntukkan masa operasi bukan kerajaan dalam sidang Parlimen dan membolehkan pindaan rang undang-undang (RUU) yang dibawa oleh anggotanya menerusi pindaan Peraturan Mesyuarat.
* Keempat, penggubalan Akta Parlimen Penggal Tetap dan mengutamakan usul undi percaya dan tidak percaya melalui pindaan Peraturan Mesyuarat.
* Kelima, pengiktirafan Kabinet Bayangan dengan sumber dan akses maklumat kepada menteri bayangan
Pada masa sama, kumpulan itu ‘menasihatkan’ pemimpin terbabit berhenti menggunakan ‘pakatan kerajaan’ sebagai alasan sehingga ia dilihat merencatkan apa yang dirancang pada waktu terdahulu.
Kenyataan yang ditandatangani oleh individu dan NGO berkenaan menyuarakan kekecewaan kerana selepas 15 bulan, Kerajaan MADANI yang diterajui Anwar dilihat masih belum selesai melangsaikan pembaharuan institusi utama seperti pernah dijanjikan sebelum ini.
Kata kenyataan itu, meskipun terdapat iltizam kuat untuk memisahkan fungsi pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara, pihaknya mendapati tiada garis masa konkrit yang menunjukkan kesegeraan untuk merealisasikan apa yang dihasratkan itu.
Tanpa komitmen untuk memperkenalkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap (APBT), kumpulan itu mendakwa terdapat kemungkinan reformasi besar tidak menampakkan hasil walaupun selepas Parlimen dibubarkan.
Kumpulan itu menolak bulat-bulat alasan ‘lambat’ melaksanakan pembaharuan reformasi institusi kononnya berpunca daripada ‘kerajaan campuran’, kumpulan berkenaan menolak bulat-bulat alasan berkenaan.
Ini kerana, kumpulan itu beranggapan bahawa alasan sedemikian langsung tidak menggambarkan gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai pemimpin yang memiliki sikap ‘reformis’ atau mereka semuanya anti-pembaharuan.
Adalah tidak adil mengatakan rakan pakatan (yang membentuk Kerajaan Perpaduan) iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebagai anti-reformis dengan mendakwa mereka memonopoli untuk pembaharuan.
“UMNO dan GPS, kami lihat ada pembaharu institusi yang serius seperti Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Kerajaan Perpaduan mungkin mempunyai dorongan yang lebih kuat daripada kerajaan parti tunggal yang kuat untuk melaksanakan pembaharuan apabila pembaharuan tersebut boleh memberi manfaat kepada rakan kongsi yang lebih kecil dalam kerajaan campuran.
“Sehubungan itu, SCPP menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara yang baru dilantik, Datuk Mutang Tugal untuk menerajui pelan hala tuju ini dan menyokongnya dengan penuh iltizam politik dan dari segi kewangan,” kata kenyataan itu.
SCPP juga menyeru parti pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dan MUDA untuk menyokong gesaan ini untuk membentuk pelan tindakan untuk reformasi Parlimen.
Malaysia berhak mendapat pembangkang profesional yang menyediakan semak dan imbang yang berkesan ke atas kerajaan dan bukannya merancang kejatuhan kerajaan melalui pengumpulan dan pengiraan akuan berkanun (SD).
(Foto FB BERSIH)
Nnnn
