Kembali ke pangkuan UPKO

TUARAN 17 Feb. – Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Bumburing kembali ke pangkuan parti itu selepas meninggalkannya pada Julai 2012.

Turut bersama beliau kembali kepada UPKO kira-kira 100 bekas ahli dari Keningau, Tambunan, Tamparuli, Kiulu, Kota Belud dan Kuala Penyu.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata beliau mengambil keputusan berkenaan selepas melihat perjuangan UPKO dalam mempertahan hak dan kepentingan rakyat serta usaha yang dilakukan Presidennya, Ewon Benedick sejak mengambil alih kepemimpinan pada Januari tahun lalu.

“Ewon dan UPKO terkehadapan dalam soal memperjuangkan hak 40 peratus Sabah seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila beliau menjemput saya ke perbincangan meja bulat mengenai perkara ini, saya terpanggil untuk memberi sumbangan secara aktif dan menyokong kepimpinan beliau,” katanya.

Pengumuman kembali kepada UPKO berlangsung pada Majlis Pisompuruan Bersama Pimpinan parti itu di sini semalam.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pula berkata beliau menyambut baik penyertaan semula Bumburing bersama bekas ahli lain ke dalam parti itu.

Bumburing menjadi Ahli Parlimen Tuaran selama sepenggal selepas memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ketika mewakili UPKO namun pada Julai 2012, beliau keluar parti itu, yang juga parti komponen Barisan Nasional ketika itu.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli selama empat penggal sejak 1985 mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dan mewakili PKR selama sepenggal di kawasan sama pada Pilihan Raya Negeri pada 2013.

Nnn

(Petikan laporan Nabalu news)

Related posts

Leave a Comment