Perancangan kewangan bantu tunai umrah, haji

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Setiap umat Islam harus beriltizam untuk menunaikan ibadah umrah dan haji sekali seumur hidup melalui perancangan kewangan yang lebih awal dan teratur serta ketika usia masih muda.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ida Riswana Idris, berkata, perancangan itu membolehkan jemaah mengerjakan ibadah dalam keadaan tenang dengan kekuatan fizikal dan sihat.

Justeru kolaborasi antara Andalusia dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dijangka membuka peluang lebih ramai umat Islam termasuk orang muda memenuhi impian untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan Andalusia di sini hari ini.

Bank Islam diwakili Pengarah Perbankan Runcit dan Pengagihan, Zamree Mohamed manakala Ida Riswana mewakili Andalusia dengan disaksikan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan- Runcit Mizan Masram.

Menurut Ida Riswana, melalui MoU itu, Andalusia komited membantu lebih ramai rakyat Malaysia melaksanakan ibadah umrah dan haji dan pada masa yang sama memberi komitmen untuk menambah baik mutu perkhidmatannya.

Katanya, saban tahun, pelbagai cabaran melanda termasuk kejatuhan kadar mata wang ringgit, namun Andalusia tetap optimistik permintaan daripada umat Islam untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Katanya, sepanjang tahun 2023, Andalusia mencatat rekod jualan umrah membabitkan 63,000 jemaah dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 80,000 setahun menjelang musim umrah 1446H.

“Oleh demikian, kami percaya kolaborasi antara Bank Islam dan Andalusia tepat pada waktunya yang mana umat Islam boleh mendapatkan cara yang memudahkan mereka untuk mengerjakan ibadah umrah dan haji.

“Kami yakin pembiayaan berdasarkan Murabahah Tawarruq ini adalah berlandaskan kepada hukum maqasid syariah dan diharuskan oleh syarak bagi membolehkan seramai mungkin umat Islam menunaikan haji dan umrah,” katanya.

Pembiayaan yang disediakan itu terbuka kepada semua dan mereka tidak perlu teragak-agak memohon kerana kini sudah banyak hujahan dan fatwa dikeluarkan berkaitan dengan pembiayaan umrah dan haji.

“Pada pandangan saya secara peribadi, menjalani ibadah umrah dan haji dalam keadaan tenang dari sudut kewangan iaitu hasil pembiayaan BIMB adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mempercayai pakej murah seterusnya tertipu.

Ada juga yang terpaksa menunggu giliran bermain kutu, terpaksa tunggu duit pencen namun pada ketika itu berkemungkinan terhalang akibat faktor kesihatan atau pun tidak sempat langsung untuk mengerjakan umrah atau haji,” katanya

Beliau yang menyifatkan pembiayaan itu tepat pada masanya juga menjelaskan, isu pembiayaan peribadi itu sudah beberapa kali dirujuk kepada Muzakarah Haji dan Fatwa Kebangsaan dan pihak berkaitan memutuskan bahawa pembiayaan itu dibolehkan dan diharuskan dengan pematuhan tiga syarat.

Syarat itu, pertama pinjaman yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur riba, kedua, pemohon mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan mengerjakan umrah dan haji.

Ketiga, faktor masa, pembiayaan itu dibuat atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rujun Islam semata-mata.

Beliau berkata, terdapat pelbagai kelebihan melalui pembiayaan ini terutamanya kepada golongan berpendapatan tetap kerana skim pembiayaan itu adalah satu bentuk perancangan kewangan yang boleh mendisiplinkan seseorang untuk merancang waktu pelaksanaan ibadat umrah dan haji ketika usia muda.

“Ia hanya memerlukan sebanyak RM189.86 setiap bulan selama lima tahun. Jumlah itu ternyata lebih rendah jika dibandingkan komitmen golongan muda yang membeli telefon bimbit menerusi syarikat telekomunikasi,” katanya.

Bagi memudahkan kerjasama antara Andalusia dengan Bank Islam, orang ramai boleh mula memohon pembiayaan pakej umrah dengan pembayaran ansuran mudah melalui platform www.umrahandalusia.com tidak lama lagi.

Nnnn

Foto
Ida Riswana Idris dan Mizan Masram.

Related posts

Leave a Comment