KUALA LUMPUR 16 Feb. – Lebih 73,000 pendeposit telah melanggan perlindungan takaful TH Khairat dalam tempoh enam bulan sejak ia dilancarkan akhir Julai lalu, kata Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab.
Beliau berkata, pendeposit boleh mendaftar dan melanggan takaful TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).
“Alhamdulillah, dengan persetujuan bersama pengendali Takaful, pendeposit kini boleh mendaftar dengan kedua-dua pengendali Takaful.
Penerima manfaat boleh menuntut manfaat kewangan RM12,000 daripada kedua-duanya menjadikan jumlah perlindungan yang layak diterima sebanyak RM24,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 31 Julai lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan takaful TH Khairat berganda dengan manfaat kewangan sehingga RM24,000 menerusi dua sijil perlindungan.
Pendeposit boleh mendaftar dan melanggan perlindungan takaful TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali takaful yang dilantik iaitu STMB dan HLM Takaful.
Dengan mengekalkan langganan tahunan serendah RM28 bagi setiap perlindungan, manfaat kewangan yang ditawarkan adalah sebanyak RM12,000 daripada setiap pengendali takaful kepada penerima manfaat yang dinamakan.
Sekiranya pendeposit memilih untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali takaful, pendeposit hanya perlu menyumbang RM56 setahun dan penerima manfaat layak membuat tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM24,000 iaitu RM12,000 daripada STMB dan RM12,000 daripada HLM Takaful.
Maklumat lanjut, layari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) di talian 03-62071919.