Najib sahut cabaran Anwar

KUALA LUMPUR 4 April – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyahut cabaran untuk ‘turun gelanggang’ bagi berdebat dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pekan itu turut meminta acara debat itu dapat diadakan secara langsung dalam tempoh terdekat.

“Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let’s rock! Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan live.

“Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Najib menyatakan persetujuan itu selepas menerima cabaran untuk berdebat oleh Anwar hari ini.

Dalam hantaran itu, Najib turut menyentuh mengenai kenyataan Anwar yang menyatakan beliau gagal menjawab dakwaan Rafizi berhubung usaha menyelamatkan (bail out) syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

“Seolah-olah Rafizi menipu Anwar apabila dia memberi taklimat kepada Anwar berhubung isu ini.

“Yang mula-mula cabar untuk debat ialah Rafizi sehari dua sebelum Ramadan bermula. Saya cuma sahut sahaja.

“Saya sudah menjawab kesemua sanggahan Rafizi setiap kali dia naikkan. Setakat ini, dia (Rafizi) cuma buat posting tiga kali berhubung isu ini,” kata Najib lagi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan telah menantikan selama 10 tahun untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri itu serta mendakwa pelawaan itu tidak disambut.

Terdahulu, Anwar menegaskan beliau tidak gentar untuk berdebat dengan Najib dan berkongsi serangkap pantun bagi menggambarkan kesediaannya.

Berikut pantun yang dikongsi Ketua Pembangkan itu:

Tuan Puteri pergi ke Lukut

Bawa pulang kacang panjang

Sedikit pun hamba tak takut

Kalau berani turun gelanggang

Related posts

Leave a Comment