ICC bimbang serangan di Rafah

THE HAGUE: Ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan menyuarakan kebimbangan terhadap serangan darat Israel ke atas Rafah dan memberi amaran pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa akan dipertanggungjawabkan.

Menerusi kenyataan di X, beliau berkata siasatan dilakukan pejabatnya terhadap peristiwa di Gaza sedang dibawa ke hadapan sebagai perkara yang paling mendesak.

“Saya amat bimbang dengan pengeboman yang dilaporkan dan potensi pencerobohan darat oleh tentera Israel di Rafah,” katanya.

ICC membuka siasatan pada 2021 ke atas Israel serta Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain untuk kemungkinan jenayah perang di wilayah Palestin.

Khan sebelum ini berkata siasatan itu diteruskan kepada peningkatan permusuhan dan keganasan sejak serangan 7 Oktober 2023.

“Semua peperangan mempunyai peraturan dan undang-undang yang terpakai untuk konflik bersenjata, tidak boleh ditafsirkan sehingga menjadikannya kosong atau tiada makna.

“Ini adalah pesanan konsisten saya, termasuk daripada Ramallah tahun lalu. Sejak itu, saya tidak melihat sebarang perubahan ketara dalam tingkah laku Israel,” katanya.

ICC adalah satu-satunya mahkamah bebas di dunia yang ditubuhkan untuk menyiasat kesalahan paling berat termasuk pembunuhan beramai-ramai atau genosid, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

“Kepada semua yang terbabit: Pejabat saya sedang giat menyiasat sebarang jenayah yang didakwa dilakukan. Mereka yang melanggar undang-undang akan bertanggungjawab.”, katanya sambil menggesa pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas.

Related posts

Leave a Comment