TANJONG 12 Feb. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung lesen perkhidmatan bas ekspres terhadap pengusaha yang sengaja mengenakan caj tiket mahal terhadap penumpang terutamanya ketika musim perayaan.
Gesaan itu susulan aduan seorang penumpang yang mendakwa dirinya dan isteri dikenakan bayaran tiket berjumlah RM862 bagi perjalanan dua hala dari Johor Bahru ke Gopeng, Perak.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N V Subbarow, berkata pihaknya kecewa dan terkejut selepas menerima aduan yang dibuat secara peribadi oleh penumpang berkenaan.
Katanya, penumpang itu memaklumkan membuat pembelian tiket bas untuk dia dan isterinya secara dalam talian, sebulan lalu sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurut Subbarow, semakan CAP mendapati harga biasa tiket bas dijual bagi perjalanan satu hala adalah RM 70 tetapi penumpang dikenakan bayaran dari RM 190 (pergi) dan RM 241 (bayaran balik), kenaikan antara 270 hingga 340 peratus.
Penumpang itu yang mengembara bersama isterinya untuk bertemu rakan mereka dalam satu majlis membayar harga keseluruhan tiket itu sebanyak RM862.
Subbarow menyifatkan caj tiket yang begitu mahal adalah satu eksploitasi terhadap pengguna walaupun Menteri Pengangkutan berkali-kali memberi amaran kepada industri bas supaya tidak mengenakan caj berlebihan semasa musim perayaan.
“Tetapi tiada siapa yang mendengar kata menteri. Beberapa syarikat bas ekspres memperoleh wang yang besar sebagai keuntungan daripada pengguna atas nama perayaan.
“Oleh itu, CAP menggesa kementerian mengambil tindakan tegas terhadap syarikat bas ekspres yang mengenakan caj berlebihan kepada penumpang antaranya dengan menggantung lesen perkhidmatan, apatah lagi kebanyakan yang suka menaiki bas ekspres adalah dari kumpulan B40,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga sepatutnya menyediakan meja aduan untuk penumpang yang dieksploitasi oleh syarikat bas ketika musim perayaan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Nnn
