Mekanisme adil kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Satu mekanisme lebih adil kepada semua penjawat awam baharu perlu dikemukakan di sebalik cadangan untuk memansuhkan skim berpencen kepada penjawat awam.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak seharusnya mengambil tindakan mengumumkan langkah, namun tidak disusuli sebarang mekanisme jelas pelaksanaannya.

“Dalam keadaan rakyat terhimpit dengan masalah kos sara hidup, kamu bagi mereka tekanan, sabarlah sikit. Apa salahnya kalau kamu cari jalan. Dulu ada skim bantuan sara hidup (COLA), carilah jalan bantu.

Yang baru nak masuk (penjawat awam) dia bagi kontrak, berapa lama tak tahu..apa mekanisme yang ada. Apa nak jadi dengan pegawai keselamatan kita. Kalau tak ada pencen, nak jaga keselamatan macam mana,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Justeru katanya, kerajaan perlu mencari jalan menjana pendapatan baharu yang boleh menampung perbelanjaan mengurus kerajaan.

“Cari jalan dengan menentukan masa depan lebih baik, cipta kekayaan baru. Caranya kamu fikirlah. Kalau mahu kami bagi cadangan, kami pun boleh bagi cadangan.

Ini tidak, kalau peruntukan kami pun tak boleh bagi. Jadi, ini semua cadangan untuk menyusahkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim juga tidak seharusnya menggunakan alasan pencen wakil rakyat, semata-mata untuk menutup kelompongan dalam pelaksanaan skim pencen baharu ini.

“Ini bukan sebab ahli politik atau kakitangan kerajaan. Ini adalah perkara sensitif kerana ia membabitkan Perlembagaan. Saya fikir ambil sesuatu tindakan yang bertanggungjawab dalam keadaan rakyat terhimpit.

“Termasuklah (kepada) penjawat awam, ahli Yang Berhormat. Ada ahli Yang Berhormat pencennya pun B40. Jangan fikir kita, tapi fikir semua. Jangan fikir soal kami, tapi perlu memastikan mekanisme yang ada adil kepada semua,” katanya.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, fokus utama wakil rakyat mereka menjelang pembukaan sidang Dewan Rakyat kelak adalah berkait masalah kos sara hidup.

“Hari ini, barangan kekal melambung tinggi. Apa yang berlaku setahun ini tidak ada tindakan untuk meneruskan permintaan rakyat untuk turunkan harga barang. Dia janji dua minggu selesai, tapi sudah setahun.

“Sebab mereka (kerajaan) tak beri fokus. Yang mereka beri fokus hanya pada isu politik, isu rakyat tak diberi fokus. Harga sayur naik dan sekarang harga ubat pun meningkat dan juga isu paling dipersoal rakyat, kejatuhan nilai mata wang,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment